Sunday, May 11, 2008

Kebebasan perlu diutamakan
SOALAN: Saya tertarik dengan perbezaan pandangan antara pendukung yang ingin menegakkan negara Islam terlebih dahulu dengan mereka yang mengutamakan soal lain seperti keadilan, kebebasan atau ekonomi. Sebenarnya, apakah keutamaan di Malaysia. Sedangkan pihak kerajaan mempertingkatkan integriti, kebebasan kehakiman dan penghapusan rasuah?
– Peminat politik, Kuala Krai. Kelantan.
JAWAPAN: Persoalan yang ditimbulkan amat menarik untuk diperbincangkan. Saya memberi jawapan kepada soalan ini terlebih dahulu berbanding beberapa soalan lain yang turut ditanyakan oleh para pembaca.
Isu ini menyentuh politik dan perkembangan semasa di tanah air. Malah menjadi perdebatan juga di luar negara. Ruangan ini bagi saya lebih berfaedah membincangkan isu-isu semasa masyarakat sebegini daripada beberapa soalan yang lebih banyak menyentuh hal-
hal peribadi dan hukum hakam yang banyak terdapat dalam ruangan lain di akhbar mahu pun di majalah.
Dalam beberapa perbincangan di luar negara pun, orang masih terus menerus membincangkannya: Manakah yang patut dan lebih baik didahulukan antara strategi pelaksanaan syariah secara menyeluruh atau memperjuangkan isu-isu universal terlebih dahulu seperti soal kebebasan, keadilan sosial atau nilai-nilai yang didukung secara langsung atau tidak langsung oleh syariah Islam. Soalan ini menjadi lebih relevan dengan persekitaran negara seperti negara kita Malaysia yang bersifat majmuk.
Pandangan beberapa tokoh pemikir Islam menunjukkan ada tiga jawapan terhadap soalan yang diutarakan.
Pendapat pertama: Pihak yang mengatakan pelaksanaan syariah patut diutamakan. Justeru alasan mereka, dengan terlaksananya syariah secara komprehensif dengan sendiri nya akan wujudlah nilai kebaikan yang lain seperti kebebasan, keadilan dan berbagai-bagai nilai yang baik.
Pihak kedua yang agak lebih praktikal berpendapat bahwa dalam situasi masa kini, kebebasan, keadilan dan seumpamanya sebagai nilai universal patut didahulukan kerana apabila nilai-nilai ini benar-benar wujud dan berfungsi akan mempercepatkan lagi pelaksanaan syariat Islam secara menyeluruh. Dalam khutbah Jumaat pada setiap minggu pun, kata golongan ini diserukan agar manusia melakukan keadilan dan berbuat baik (ihsan). Malah kata tokoh pemikir Islam Fathi Yakan, anutan agama harus melalui pilihan bukan paksaan dan kebebasan yang diperjuangkan, bukannya paksaan. Malah kebebasanlah yang menuju ke arah praktikaliti pelaksanaan keislaman. Tanpa kebebasan segala-galanya tidak menjadi.
Pandangan ini dikongsi sama oleh Fahmi Huwaidi seorang lagi pemikir Islam Mesir, di mana beliau menganggap dengan adanya kebebasan berpolitik dan pemerintahan yang demokratik akan lebih cepat menuju kepada pelaksanaa Islam yang sebenar.
Abdul Mun‘im Abu Futuh, seorang tokoh gerakan Islam yang menonjol dewasa ini bersama Syeikh Yusuf al-Qaradawi ulama terkenal dunia Islam termasuk dalam kumpulan ini. Mereka menyatakan kebebasanlah yang diperlukan lebih awal dalam situasi sekarang. Tanpa kebebasan, rakyat akan merasakan keberagamaan mereka secara terpaksa dan dikawal. Roh Islam itu sendiri adalah inginkan kebebasan, bukannya paksaan. Mereka bertanya, bagaimana kita memaksa masyarakat menerima Islam tanpa mereka terlebih dahulu memahaminya dengan baik? Bukankah kebebasan itu pembuka jalan kepada pelaksanaan Islam?
Dr. Yunus, bekas Dekan Fakulti Syariah di Gaza, menyatakan bahawa menuntut kebebasan adalah lebih utama daripada menuntut pelaksanaan syariah. Justeru kebebasan beriman itu satu daripada cabang akidah yang diberikan keutamaan.
Kumpulan ketiga
Syekh Faisal Maulawi daripada lembaga fatwa Eropah selanjutnya mewakili kumpulan ketiga mengatakan, sebenarnya tidak patut timbul mana yang lebih utama, justeru kedua-duanya berkait rapat. Apa yang jelas, kebebasan adalah fitrah manusia. Sedangkan syariat juga satu kewajipan bagi manusia yang beriman selepas mereka cukup umur baligh. Syariah Islam satu juzuk daripada agama Islam secara keseluruhannya. Jadi kebebasan yang dituntut bukanlah kebebasan mutlak seperti yang difahami oleh faham liberalisme di Barat, tetapi bagi orang Islam kebebasan yang berjalan menurut disiplin dan mematuhi kehendak syariat Islam.
Kebebasan dan pelaksanaan syariah dua perkara yang sama beriringan di antara satu sama lain di mana kebebasan menjadi satu bahagian daripada pelaksanaan Islam yang menyeluruh.
Jelasnya, para pemikir Islam umumnya berpendapat tidak akan berlaku pelaksanaan syariah yang sebenar tanpa ada kebebasan yang menghormati kemuliaan manusia untuk hidup bebas, bebas bersuara dan bertindak, asalkan tidak mengancam pihak lain atau mengganggu masyarakat awam.
Apa yang pasti kata Muhamad Salem Al-
Ewa seorang lagi pemikir Islam kontemporari, Islam tidak berjalan dengan baik dalam satu pemerintahan kuku besi, atau pemerintahan yang zalim, malah Islam tidak akan maju dalam masyarakat yang para ulamanya hanya memberikan fatwa mengikut selera pemerintah dengan meninggalkan perintah Allah dan tidak memelihara kepentingan ramai.
Tidak ada faedahnya bercakap tentang pelaksanaan Islam dalam negara yang pemerintahnya mengekang kebebasan rakyat. Malah banyak dalam sejarah Islam, di mana nama Islam diperalatkan oleh para pemerintah zalim dan para diktator. Akhirnya ia banyak membawa keburukan kepada nama Islam daripada faedahnya dapat kepada Islam.
Sebenarnya perbincangan seperti ini masih merupakan perbincangan yang terbuka. Ia tidak akan ada kata pemutus kerana ia menjadi khilaf daripada segi strategi. Demikian juga dengan banyak isu semasa umat Islam. Namun banyak pihak yang bercakap atas nama Islam selalunya tidak berlapang dada untuk membincangkan isu-isu Islam semasa seperti ini atas alasan kita tidak ada kematangan untuk berbincang.
Justeru itu janganlah dipersempitkan ruang perbincangan jika kita mahu melihat rakyat dan orang ramai lebih faham dengan Islam. Tetapi ia tidaklah pula menafikan memang tidak patut memberikan kebebasan yang mutlak hingga tidak ada lagi disiplin perbincangan sampai mengeruhkan keadaan dan membawa haru biru kepada kehidupan bermasyarakat.
Budaya berbincang dan berpolimik patut diperluaskan dalam perkara yang terbuka kepada perdebatan. Di kalangan orang Islam sendiri, ramai yang takut kepada perbincangan ini kerana tidak cukup modal untuk melakukannya. Ruang-ruang yang lebih luas harus diberikan kepada mereka yang layak. Hanya harus ada kefahaman, mana perkara yang patut diperdebat dalam ruang terbuka dan ada pula perkara yang hanya patut diperdebat oleh para pakar supaya tidak menimbulkan masalah kepada orang awam yang sukar memahaminya.
Gesaan al-Quran untuk bertanya kepada pakar adalah satu anjuran terbuka agar kebebasan intelektual bukan sekadar dibenarkan malah digalakkan. Menutup pintu perbahasan dalam kepompong masing-masing seperti kepompong mazhab juga sudah agak kurang sesuai. Masyarakat sudah menerima konsep-konsep tajdid, ijtihad, reformasi, islah dan perubahan atau beberapa konsep lain yang menjurus kepada kebebasan berfikir yang sebenarnya mendapat pengiktirafan Islam. Ia menjadi lebih relevan dalam masyarakat yang lebih terbuka.
Baik lagi, setiap bidang mesti ada kepakaran dan keahlian masing-masing. Bagaimana kepakaran lain perlu dihormati, kepakaran bidang pemikiran Islam juga harus dipelihara agar tidak berlaku pencerobohan dan membawa keadaan lebih berserabut. Wallahualam.
Simpati keluarga nabi
Soalan: Saya seorang pencinta sejarah Islam dan pengkaji sejarah dan saya dapati bahawa keluarga Rasulullah s.a.w. terutama ahli rumahnya banyak teraniaya dan kebanyakannya mati dibunuh seperti Sayidina Husain dan ayah mereka Sayidina Ali r.a. sendiri. Saya sungguh-sungguh bersimpati dengan mereka. Bagaimana perasaan dan sikap kita umat Islam hari ini?
– Sidik Husin, Cheras, Selangor
Jawapan: Kajian anda adalah benar dan terima kasih atas usaha murni tersebut. Kita sepatutnya bersimpati dengan para sahabat Rasulullah s.a.w. tetapi jangan kita bertindak di luar batasan agama. Kita tidak sepatutnya terlampau simpati dengan mereka sehingga memusuhi semua umat Islam yang lain. Ini termasuk keluarga Rasulullah s.a.w. yang lain terutama sahabatnya yang tercatat dan diakui sebagai sahabatnya yang paling setia kepadanya sehingga dikenali dengan gelaran (assiddiq). Ini sebagaimana firman Allah bermaksud: ingatlah pada waktu mereka berduaan dalam gua dan waktu dia (Muhammad) membisikkan bagi sahabatnya (Abu Bakar) jangan kamu bersedih sesungguhnya Allah tetap berada bersama kita. (Surah al-Taubah ayat 40). Sebab itu kata ulama, hubungan persahabatan antara Rasulullah s.a.w dengan Abu Bakar tidak harus (dipertikaikan) diingkar, dipersoal atau dinafikan, kerana ia jelas disebut dalam al-Quran.
Sedangkan persahabatan atau hubungan anak menantunya yang lain tidak pernah dicatat dan disebut dalam al-Quran. Adapun ahli rumah Rasulullah s.a.w. itu termasuk sekalian isterinya semua sekali seperti Aisyah, anak sahabatnya dan wanita yang sangat dicintai dan dikasihinya seperti ayahnya (Abu Bakar) serta Hafsoh r.a. dan lain-lain. Ini dapat difahami melalui firman-Nya dalam surah al-Ahzab yang menyebut tentang ahli rumah Rasulullah dari ayat 32-33. Kenapa ada orang kita yang cuba menentukan ahli rumah Rasulullah s.a.w. itu hanya lima orang? Perasaan simpati kita kepada mereka semua amatlah tinggi dan tidak berbelah bagi, malah semua sahabat Rasulullah sama ada ahli rumah atau bukan ahli rumahnya termasuk sahabatnya yang baru dan menumpangi serambi masjidnya dan tinggal berjiran di sebelah rumahnya. Sebab itu bila kita berselawat kepada Rasulullah s.a.w. kita tidak lupa juga untuk berselawat sama kepada keluarga dan para sahabatnya. Kita ucapkan Allahumma salli ‘ala Muhammadin nabiyil ummiyyi wa ‘ala alihi wa sahbihi wa sallim.
Tetapi amat dikesali, orang kita bila bersimpati dengan satu dua orang, maka habis orang lain semua terpalit sama. Inilah sikap buruk kita yang boleh menyebabkan kita tersilap dari pertimbangan yang lurus. Bukankah kita disuruh mengikuti Rasulullah s.a.w. seperti sabdanya semasa Baginda bersedih atas kematian anak kesayangannya Ibrahim a.s. yang mana matanya berlinangan tanda kesedihan. Bila ditanya jawabnya ya! aku menangis kerana sedih tetapi tidak mengatakan sesuatu yang tidak dibenar dan tidak diredai Allah s.w.t.. Sikap kematangan inilah yang dapat mempertahankan umat Islam atas jalan agama yang lurus, mereka selama-lamanya tidak akan hilang pertimbangan yang boleh menyebabkan ramai manusia terperangkap dan hilang kesabaran. Siapalah kita ini sehingga berani mempersoalkan ketinggian kedudukan sahabat yang telah mendapat keredaan dari Allah s.w.t.. Ini ditegaskan oleh Allah dalam firman-
Nya yang bermaksud: dan orang yang dahulu yang mula-mula berhijrah dan memberi bantuan dari kalangan orang Muhajirin dan kaum Ansor dan orang yang mengikut jejak langkah mereka dengan baik Allah meredai mereka dan mereka juga meredai daripada-Nya dan Allah sediakan untuk mereka syurga. (Surah al-Taubah ayat 100). Adapun ayat seterusnya tidak langsung menyentuh kaum muhajirin yang dikatakan sebagai perampas kuasa dan sebagainya. Mereka adalah sahabat yang jujur dan ikhlas lagi setia kepada Allah dan Rasul-Nya juga kaum mukmin. Lihatlah juga bagaimana tindakan ‘Ali r.a. sendiri di mana Baginda dapat berdamai dan bersikap harmoni sekalipun dengan mereka yang pernah berperang menentangnya. Tetapi malangnya kerana baginda dapat menerima perdamaian demi kesejahteraan umat Islam, akhirnya beliau sendiri dihukum murtad juga oleh sebahagian daripada kaum khawarij pada masanya.
Oleh itu marilah kita berlapang dada dan mengikuti jejak langkah mereka dengan baik tanpa membenci sesiapa terutama daripada para sahabat Rasulullah s.a.w. dan umat Islam seluruhnya. Dan ingatlah pesannya yang bermaksud: kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman dan kamu tidak beriman sehingga kamu dapat berkasih sayang antara kamu (hadis Riwayat Muslim). Sikap pemarah itu amat dibenci agama. Ketahuilah Allah s.w.t. tidak bersama orang yang pemarah dan tidak bersabar. Allah berfirman yang bermaksud: Allah tetap bersama orang yang sabar (Surah al-Baqarah ayat 249). Bertindak dan berfikirlah dengan matang dan jangan mudah terperangkap dengan perasaan marah dan benci sesiapa, terutama di kalangan mereka yang sebaik-baik kurun dan generasi al-Quran keluaran sekolah didikan Rasulullah s.a.w. Lihatlah kesilapan kita sendiri. Nabi bersabda bermaksud: bila sahabatku dibicarakan maka hendaklah kamu diamkan diri (maksud hadis). Ini menunjukkan kita yang datang kemudian ini, tidak layak untuk menyentuh ketinggian mereka dan bila kita tidak ada jawapannya, eloklah kita sama-sama bertanyakan pakarnya. Wallahualam.
Mengenal Tuhan
Soalan: Masyarakat kita biasanya belajar akidah dan mengenal Allah melalui sifat 20. Adakah cara tersebut perlu dilakukan oleh setiap umat Islam? Bagaimana dengan mereka yang dapat mengenali Tuhannya melalui dalil-dalil yang lain?
– Husain Sa’ad ,
Marang Terangganu .
Jawapan: Mengenal Allah adalah merupakan kewajipan setiap mereka yang mengaku dirinya beragama Islam sama ada dengan cara belajar sifat 20 atau lainnya. Ini sebagaimana contoh yang berlaku pada masa Rasulullah s.a.w. dahulu di mana orang Badwi yang hidup dengan unta ternakannya di padang pasir menerima Islam, lalu Rasulullah bertanya kepadanya: ‘Kamu beriman kepada Allah s.w.t. itu apakah dalilnya?
Jawab Badwi tersebut, dalilnya tahi unta ini, adalah tanda wujudnya unta ku. Pada masa yang lain Rasulullah s.a.w. bertanyakan seorang wanita Badwi dan apabila Rasulullah bertanya kepadanya kamu beriman kepada wujudnya Allah: Jawabnya, ya! Sabdanya lagi di mana ada-Nya, lalu Badwi tersebut menuding jari telunjuknya ke atas( ke langit).
Jadi beriman kepada Allah itu tidak semestinya dengan belajar sifat 20 sahaja. Apa yang penting bagi setiap muslim itu dapat meyakini dengan wujud Allah s.w.t. dan keesaaan-Nya dengan dalil-dalil yang boleh difikirkan seperti kejadian makhluk ini dikatakan dalil bagi wujud dan keesaan Allah dan sifat-sifat kesempurnaan yang lain.
Seperti dia dapat mengenali Allah yang bersifat dengan segala sifat kemalat (kesempurnaan) dan Maha Suci Allah dari sifat kekurangan dan dia mengaku bahawa Allah adalah Tuhannya yang menjadikan segala-gala, lagi Maha Kaya daripada segala sesuatu dan manakala sesuatu yang lain itu semuanya berhajat kepadanya itulah Tuhannya yang berhak disembah dan diperhambakan diri kepada-Nya.
Dan bila ditanya kenapa makhluk ini dalil bagi wujudnya Allah, dia boleh mengetahui jalan dalil tersebut sama ada kerana baharunya atau kerana bersamaan wujud dan ‘adamnya atau lain-lainnya. Wallahualam.
Bertaklid pada ulama
Soalan: Saya keliru dengan pendapat yang membenarkan kita bertaklid kepada para ulama mujtahid mazhab yang empat sedangkan mereka sendiri mengutuk mereka yang bertaklid kepadanya terutama Imam Syafie r.a. Bagaimana pandangan tuan dalam isu ini?
– Yunus Ya'kub,
Kepala Batas Kedah.
Jawapan: Pandangan anda kurang tepat kerana kutukan tersebut hanya pada isu yang bertentangan dengan dalil-dali sahih sahaja. Adapun dalam perkara hukum yang tidak ada dalil atau selaras dengan dalil-dalil syarak, maka tidak ada siapa yang melarang dan mengutuk mereka yang bertaklid kepadanya. Ini dapat kita faham daripada kata-kata mereka yang berbunyi” bila perkataanku bertentangan dengan dalil yang sahih (dari al- Quran dan hadis) maka tinggalkan pendapatku dan ambillah al-Quran dan hadis itu dan buanglah pendapatku atau campakkannya ke dinding.
Jelas kutukan atau larangan mereka tadi hanya pada perkara hukum yang tidak ada dalil yang sahih sahaja tetapi sekiranya pendapat mereka selaras atau disokong dengan dalil yang sahih dari al-Quran atau hadis, pastilah pendapat mereka itu boleh diterima dan diikuti (ditaklid) dan beramal dengannya, dan kita yakin mereka daripada para mujtahid ini tidak berkata dengan suatu pendapat yang bertentangan dengan dalil-dalil tadi seperti mana firman-Nya bermaksud Bertanyalah kepada mereka yang berilmu (dalam perkara) yang kamu tidak mengetahuinya (Surah An-Nahlu ayat 43).
Sebenarnya inilah alasan yang selalu dibawa oleh mereka yang menentang taklid iaitu taklid buta namanya terutama dalam bab akidah sebagaimana selalu mereka berkata mengenai seseorang ulama itu, percakapan orang lain (ulama selain Rasulullah s.a.w.) (yang tidak ada dalil) itu boleh diterima dan ditolak pendapatnya melainkan Rasulullah s.a.w. yang mesti diterima apa sahaja yang datang daripadanya.
Ini juga merujuk kepada pendapat mereka yang tidak selaras dengan dalil dan pendapat yang tidak berasas sahaja. Jadi kesimpulannya boleh orang awam itu bertaklid dengan para ulama apa lagi dengan para mujtahid. Sekiranya pendapat mereka itu tidak boleh diterima sudah tentu banyak arahan dari ajaran syariat Allah itu tidak boleh diamalkan kerana mereka bercakap berdasarkan dalil-dalil yang sahih dan nyata dari al-Quran dan hadis. Kalau tidak, tentu Allah tidak memerintah kita bertanya dan mengikut mereka dalam firman-Nya tadi. Maksud dari taklid yang tidak dibenarkan itu hanyalah dalam isu akidah iaitu mengenai bab keimanan kita dengan Allah. Ini semua untuk memastikan setiap orang hamba itu dapat mengenali Tuhannya, supaya ibadat dan pengabdiannya benar-benar sah dan diterima. Wallahualam.

Tuesday, May 6, 2008

Makanan halal: Pengguna perlu prihatin

UMAT Islam dituntut mengikut syariat Islam yang telah mengatur kehidupan manusia ini dengan lengkap dan sempurna. Melengkapi segala aspek kehidupan manusia sehinggalah kepada pemilihan makanan untuk manusia itu sendiri juga perlu berlandaskan syariat al-Quran dan as-Sunnah.

Prinsip halal adalah salah satu perkara yang sangat dititik beratkan dalam pemilihan makanan mengikut syariat Islam. Prinsip halal ini secara umumnya melibatkan dua perkara.

Pertamanya, bagaimana sesuatu benda itu diperolehi. Kedua, adakah zat atau barangan itu sendiri halal atau sebaliknya dari segi syariat Islam. Syariat Islam telah menetapkan supaya setiap penghuninya memakan makanan halal sahaja. Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai Sekelian manusia makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang terang nyata bagi kamu. (Al-Baqarah: 168)

Sehubungan itu, pemilihan makanan halal lagi baik perlu diambil berat oleh setiap umat Islam. Ini bertujuan memastikan makanan itu tidak memudaratkan manusia itu sendiri. Makanan yang suci dan bersih akan menjamin kesihatan yang baik.

Justeru , di samping kita memilih makanan yang berzat dan berkhasiat adalah lebih penting lagi pada masa yang sama, kita juga hendaklah perlu memastikan makanan tersebut dijamin bersih dan suci mengikut hukum syarak.

Umat Islam hari ini begitu terdedah kepada pelbagai jenis makanan dan minuman yang berada dipasaran khususnya produk makanan import yang rata-rata datangnya dari negara bukan Islam atau diusahakan oleh orang-orang bukan Islam yang pastinya menimbulkan banyak persoalan berkaitan masalah-masalah produk ini kerana diakui adalah bukan mudah untuk kita mengenali asal usul sumber bahan-bahan tersebut atau dengan kata lain tidak mudah untuk kita menentukan masalah bahan tersebut.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Setiap daging yang tumbuh daripada makanan yang haram, maka api nerakalah yang layak baginya”. (riwayat At-Tirmizi).

Allah memerintahkan umat Islam supaya makan makanan yang halal lagi baik sahaja kerana banyak hikmah tersendiri di sebalik perintahnya ini. Makanan merupakan ciri utama dalam pembentukan fizikal yang sihat bagi manusia. Seseorang mukmin yang sentiasa prihatin terhadap pemilihan makanan halal, suci dan bersih dalam pemakanan hariannya setiap hari pasti akan lahir dalam dirinya keimanan dan Nur yang dapat memandu jiwanya ke arah ketakwaan dan peningkatan ibadahnya kepada Allah. Pemilihan makanan yang bersih dan halal menjadi keutamaan dalam ajaran Islam.

Makanan yang haram sama ada daripada bahan yang dicampur najis atau benda bersumberkan punca yang tidak halal akan mendatangkan tiga bahaya besar kepada pemakanannya.

Pertama, makanan itu akan mempengaruhi jiwa pemakanannya sehingga dia lebih gemar membuat kejahatan dan maksiat serta benci kepada kerja-kerja kebajikan dan ketaatan. Kedua, doanya tidak akan dimakbulkan oleh Allah dan yang terakhir, dia akan mendapat keseksaan di neraka Allah pada hari kiamat kelak.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah. (al-Baqarah: 173)

Rahsia di sebalik pengharaman atau larangan Allah dalam al-Quran terhadap makanan-makanan yang jelas haram di makan juga telah berjaya dibongkar melalui kajian sains para saintis masa kini. Misalnya, Allah mengharamkan daging babi kerana kajian sains membuktikan bahawa terdapat cacing pita dan virus JE (Japanese encephalitis) dalam babi. Kedua-duanya dikatakan sukar untuk dibunuh.

Dalam kajian yang lain juga saintis membuktikan bahawa daging babi mengandungi kuman dan virus yang amat berbahaya kepada manusia. Kajian ini juga mendapati pada kerongkong haiwan tersebut terdapat sel-sel tertentu yang mampu mengubah pelbagai kuman dan virus ini kepada bentuk yang lebih berbahaya kepada manusia.

Maka jelaslah bahawa, perintah Allah supaya kita memilih makanan yang halal dan baik adalah untuk kebaikan manusia itu sendiri dan bukannya untuk memudaratkan kesihatan manusia.

Selain itu, pemilihan makanan yang halal akan menjamin kesejahteraan hidup seseorang didunia dan di akhirat.

Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dengan kerjasama pihak berkuasa yang lain sentiasa membuat pemantauan dan pemeriksaan ke atas produk makanan, barang gunaan serta premis makanan di pasaran bagi memastikan ia benar-benar halal. Walaubagaimanapun, kerjasama yang berterusan daripada masyarakat juga sentiasa diharapkan dalam usaha membantu kerajaan dengan menjadi mata, telinga dalam memberi maklumat dan menyalurkan sebarang keraguan terhadap bahan makanan atau produk gunaan serta penyalahgunaan logo halal atau perbahasan halal.

Justeru, sebarang penyelewengan, penipuan dan penyalahgunaan logo halal dapat dicegah dan diambil tindakan segera bagi mengelakkan umat Islam daripada terus ditipu.

Statistik permohonan Sijil Pengesahan Halal (SPH) menunjukkan kebanyakan pemohon atau pemegang adalah terdiri daripada pengusaha makanan yang bukan beragama Islam. Amat menyedihkan apabila didapati golongan pengusaha makanan Islam yang memohon SPH adalah kecil jumlahnya berbanding pengusaha bukan Islam.

Pengusaha-pengusaha bukan Islam dilihat bersungguh-sungguh serta komited untuk mendapatkan pengiktirafan SPH bagi produk-produk keluaran syarikat mereka. Sedangkan pengusaha kita yang beragama Islam tidak memandang keperluan pengiktirafan halal ini sebagai satu peluang serta daya tarikan untuk melariskan produk-produk keluaran mereka kerana beranggapan pengguna sudah yakin dengan produk yang diusahakan oleh orang Islam.

Justeru, golongan pengusaha makanan muslim diseru memohon mendapatkan pengiktirafan SPH bagi produk keluaran syarikat mereka. Ini dalam usaha meningkatkan lagi pasaran serta dapat bersaing dengan para pengusaha bukan Islam yang nyata tidak dapat memahami secara menyeluruh tentang konsep halal haram yang perlu dipraktikkan dalam perusahaan mereka berlandaskan syariat Islam yang sebenar.

Prinsip asas dalam pengeluaran SPH oleh Jakim dan JAIN adalah cukup jelas. Sesuatu makanan itu bukan sahaja perlu halal tetapi juga baik (halalan tayyiba), iaitu tidak memudaratkan pengguna. Segala aspek kesihatan, kebersihan dan keselamatan turut diambil perhatian dalam meluluskan permohonan sijil ini selain menitik beratkan aspek berkaitan bahan-bahan ramuan yang digunapakai dalam penghasilan produk atau barang gunaan.

Justeru, apakah pula peranan kita sebagai ahli masyarakat yang prihatin terhadap amalan pemakanan halal ini? Dengan wujudnya logo halal yang dikeluarkan kepada pengusaha makanan ini, maka kita perlu menggunakan kuasa yang ada pada kita sebagai pengguna untuk memilih premis atau produk yang telah di sahkan halal oleh pihak berkuasa agama sahaja.

Pengguna dinasihatkan tidak sewenang-wenangnya membeli atau mendapatkan makanan di premis-premis makanan tanpa ada rasa syak atau bertanya adakah makanan yang disajikan kepada kita benar-benar halal dan adakah dapur atau tempat penyediaan makanan tersebut bersih dan diselia oleh tukang masak beragama Islam.

Oleh itu, kita sebagai umat Islam hendaklah sentiasa berhati-hati memilih makanan bagi memastikan apa yang kita makan benar-benar halal. Mudah-mudahan dengan demikian kita terhindar daripada azab Allah dan tidak termasuk ke dalam golongan orang-orang yang melanggar ketentuan hukum Allah.

Thursday, May 1, 2008

May Day, May Day!
Thursday, May 1st, is "May Day" for many people all over the world.

Maypoles are traditional ways of celebrating the First of May in many countries.

PHOTO: HENRIK WIDTH

"May Day" means different things to different people.
For many, it is the International Workers' Day, or a celebration of the labour movement.
But the celebration has other origins, some very ancient, and different customs have become associated with it.
In addition, it occurs about halfway between the solstice and the equinox... Ok, thereabouts, anyway.
In Norway, May 1st is a national holiday, even though many people, at least the younger generation, don’t seem to know quite why anymore.
Some people associate the day with pre-Christian indigenous celebrations -- and the tradition of dancing around a maypole might be a part of this heritage.
And for many, May Day simply signifies the beginning of summer.
At any rate, now May Day has become celebrated around the world in all its many manifestations, and so it will be in Norway tomorrow.
This means there will be no news service on our English Web Desk. But we will be following the news, and hope to catch you up as soon as we are back in place on Friday, the day after.
Happy May Day everyone!

Friday, April 25, 2008

Kanak-kanak tempatnya di syurga

SOALAN: SAYA sudah mendirikan rumah tangga sejak tiga tahun lalu. Baru-baru ini kami dikurniakan anak tetapi malangnya ia meninggal sejurus dilahirkan.

Hati saya dan suami sangat sedih sehinggakan ada kalanya kami seolah-olah mempertikaikan takdir yang menimpa. Bagaimanakah kami mahu meredakan peristiwa ini?

JAWAPAN

Allah SWT berjanji bahawa manusia pasti diuji. Firman-Nya yang bermaksud: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (al-Baqarah: 155).

Sementara itu dalam surah al-Mulk ayat 2, Allah SWT menjelaskan: Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).

Apa yang menimpa puan pernah menimpa Baginda Rasulullah SAW. Baginda dikurniakan tujuh orang anak, enam hasil perkahwinan dengan Khadijah. Mereka ialah Qasim, Abdullah, Zainab, Ruqayyah, Fatimah, Ummu Kalthum. Seorang lagi bernama Ibrahim hasil perkahwinan Baginda dengan Mariah Qibtiyah.

Anak-anak lelaki Rasulullah SAW meninggal sewaktu kecil lagi, manakala tiga anak perempuan meninggal dunia selepas berkahwin dan semasa Nabi SAW masih hidup. Hanya Fatimah yang hidup lebih lama daripada bapanya.

Kesemua anak lelaki Baginda meninggal ketika usia mereka masih kecil. Qasim dikatakan meninggal ketika umurnya tujuh tahun, begitu juga Abdullah. Ibrahim pula meninggal ketika berusia 16 bulan. Baginda yang menjadi kekasih Allah SWT telah diuji dengan pemergian anak-anak Baginda.

Kanak-kanak yang meninggal di awal usia ditempatkan di dalam syurga. Oleh itu sabarlah, dan berserahlah kepada Allah SWT terhadap takdirnya. Yang pastinya darah daging puan sudah ada di dalam syurga. Di sana mereka akan dijaga dan disusukan oleh ibu susuan. Mereka tiada di hadapan kita tetapi mereka melalui kehidupan di alam lain dengan penuh nikmat.

Beriman kepada qada dan qadar bererti mempercayai bahawa Allah SWT adalah zat yang Maha Kuasa di seluruh alam ini untuk menentukan dan mengatur sesuatu yang ada di alam ini dengan kebijaksanaan dan kehendak-Nya sendiri tanpa diganggui sesuatu kuasa asing. Dengan erti kata yang lain, sesuatu perkara yang telah berlaku atau yang sedang berlaku atau yang akan berlaku, kesemuanya adalah tertakluk di bawah qada dan qadar (takdir) Allah SWT untuk menentukan dan menetapkan kedudukan sesuatu perkara tadi.

Maka, apa sahaja yang terjadi di alam semesta ini, semuanya berjalan dengan ilmu dan iradat Allah SWT yang direncanakan-Nya sejak mula lagi mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan Allah SWT ke atas alam ini, termasuklah ketentuan yang ditakdirkan ke atas manusia.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Allah mengetahui akan apa yang dikandung oleh tiap-tiap ibu, dan mengetahui apa yang kurang daripada yang dikandung dalam rahim itu atau yang lebih dan tiap-tiap sesuatu adalah ditetapkan di sisi-Nya dengan kadar yang tertentu. (al-Ra’d: 8)

Dalam ayat di atas Allah SWT menjelaskan bahawa segala sesuatu yang berlaku sudah ditentukan kadarnya. Hal ini diperkukuhkan lagi dalam surah Yunus ayat 107.

Oleh itu apabila seseorang itu ditimpa bencana, tidak ada yang boleh menyelamatkannya selain daripada Allah SWT. Begitu juga apabila Allah SWT menghendaki seseorang itu memperoleh kebaikan, tidak ada sesiapa pun yang boleh menghalang atau menolak kebaikan tersebut. Dalam ayat yang lain, firman Allah bermaksud: Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu memyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian ia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan menyeksa sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (al-Baqarah: 284)

Setiap orang yang beriman bahawa Allah SWT jualah yang mentakdirkan seseorang hamba itu sama ada ketentuan berbentuk kebaikan ataupun ketentuan berbentuk sesuatu keburukan adalah di atas kebijaksanaan dan belas kasihan Allah yang bersifat Maha Bijaksana dan Maha Mengasihani.

Seseorang itu jangan meremeh atau memperkecilkan nikmat Allah kerana angkuh dan besar diri dan jangan pula gelisah di atas bala bencana yang menimpa diri mereka. Malah hendaklah mereka itu bersyukur atas nikmat Allah dan bersabar atas musibah yang menimpa. Ini kerana semua itu sudah tertulis dalam ketentuan Ilahi, dan semua yang berlaku itu adalah baik dan adil bagi Allah SWT.

Dalam hadis yang sahih daripada Abi Yahya Syuhaib bin Sinan r.a yang bermaksud: Sungguh menghairankan mengenai perkara orang mukmin bahawa semua perkara baginya adalah baik. Dan yang demikian tidak ada kebajikan pada setiap perkara seseorang itu, kecuali orang mukmin yang sempurna imanya. Jika ia beroleh kesenangan, ia bersyukur adalah kebajikan baginya, dan jika ia beroleh kesusahan, ia bersabar adalah kebajikan baginya. (riwayat Muslim, no:2999 ).

Thursday, April 24, 2008

Khamis 24 April 2008 17 Rabiul Akhir 1429 Hijrah
Tandas dalam bilik menjadi trend terkini
Muhammad Shafiq Thu Apr 24, 08 5:09:18 pm MYT
Seorang anak saudara saya yang berusia 10 tahun mengemukakan soalan ini dan saya gagal menjawabnya. Dia bertanya kenapa tandas rumah-rumah moden sekarang ini ditempatkan dalam bilik. Biasanya tandas ada dalam bilik utama selain di bahagian belakang (dapur). -->-->
Katanya, ustaznya memberitahu setiap kali azan, syaitan akan terkentut-kentut dan cirit birit, melarikan diri ke dalam tandas. Pendeknya syaitan suka duduk di tempat-tempat kotor seperti tandas.
Tetapi kenapa rumah-rumah sekarang ini, tandasnya ada dalam bilik? Takkah itu bermakna kita membela syaitan dalam bilik, katanya membuatkan saya bingung.
Betul juga cakap budak ini. Orang sekarang makin teruk dan degil, mungkin salah satu sebabnya membela syaitan dalam bilik. Sebab dalam biliknya ada tandas. Punyanya malas orang kita, kalau nak ke bilik air, tak perlu jauh-jauh, di sebelah katilnya sudah ada bilik air.
Nampaknya orang Islam nak ikut stail orang Barat. Mereka nak jadikan rumah mereka macam hotel. Dalam bilik hotel ada tandas, jadi orang Islam yang membina mahligai mereka pun mahu buat macam itu - ada jamban dalam bilik.
Orang dulu, kalau bina tandas, mereka cari tempat jauh-jauh dari rumah. 'Bank kecil' ini memang berasingan daripada rumah mereka. Tetapi kini, orang bukan saja membina tandas dalam bilik, malah ada melengkapkan tandas mereka sebegitu hebat seolah-olah macam tempat tidur! - lanh

Wednesday, April 23, 2008

Allah mengetahui tahap keikhlasan kita

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Sheikh Sya'rawi berkata: "Mereka yang seperti batu yang licin yang ada padanya debu kemudian datangnya hujan tanpa meninggalkan sebarang bekas merupakan sifat-sifat bagi siapa yang dikehendaki dengan infak secara riak kepada manusia. Lantas Allah membatalkan balasan untuk mereka dan tidak mentaufikkan ke arah kebaikan dan pahala. "Seterusnya Allah menyebut yang berlawanan dengan sifat di atas iaitu mereka yang menafkahkan semata-mata kepada Allah SWT".
Firman Allah SWT, Dan perumpamaan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan untuk keteguhan jiwa mereka, seperti sebuah kebun yang terletak di dataran tinggi.
Sayyid Qutub berkata: "Ia menginfakkan harta kerana keyakinannya yang teguh kepada kebajikan, kerana kesedaran yang lahir dari keimanannya dan kerana keimanannya yang bertunjang dengan mendalam di dalam hati nuraninya.
"Jika hati yang keras ditutup dengan tabir riak itu dilambangkan dengan batu licin yang keras yang ditutupi tanah, maka hati yang mukmin itu dilambangkan dengan sebuah kebun yang subur yang mempunyai tanah yang dalam, dibandingkan dengan segenggam tanah di atas batu yang keras tadi, sebuah kebun yang terletak di atas sebuah dataran yang tinggi dibandingkan dengan segenggam tanah di atas batu keras yang licin tadi.
"Ini menjadikan pemandangan itu mempunyai bentuk-bentuk yang selaras. Apabila kebun ini ditimpa hujan lebat, maka ia tidak menghakiskan tanahnya yang subur sebagaimana ia menghakiskan tanah yang tipis di atas batu yang pejal itu. Malah ia menghidupkan tanam-tanamannya dan menyuburkan serta membanyakkan hasilnya".
Firman Allah SWT: Yang disiram oleh hujan lebat, Maka kebun itu menghasilkan buahnya berlipat ganda. Jika hujan lebat tidak menyiraminya, Maka hujan gerimis (pun memadai).
Al-Nasafi berkata: "Allah SWT umpamakan hal mereka dengan kebun yang disirami air dan nafkah yang banyak dan sedikit dengan hujan yang banyak sebagaimana setiap satu daripada hujan boleh menggandakan hasil tanam begitu juga nafkah mereka yang banyak dan yang sedikit selepas daripada dituntut dengannya keredaan Allah akan bertambah dan baik kesudahannya".
Melipat gandaSayyid Qutub berkata: "Air hujan itu menghidupkan pokok di kebun itu sebagaimana sedekah menghidupkan hati yang mukmin lalu ia menjadi bersih dan bertambah kuat hubungannya dengan Allah, dan hartanya juga turut bersih dan Allah melipat gandakan balasannya seberapa banyak yang ia sukai, dan seterusnya kehidupan kelompok muslimin juga turut menjadi bersih, baik dan berkembang subur dengan sebab infak itu".
Beliau menambah: "Yakni jika tidak ada hujan yang lebat, maka hujan gerimis yang sedikit cukup untuk tanah kebun yang subur itu. Itulah satu adegan yang sempurna yang memaparkan pemandangan- pemandangan yang bertentangan dan dengan perincian-perincian yang tersusun rapi. Ia dibentangkan dengan cara keselarasan yang melemahkan manusia.
"Ia melambangkan setiap perasaan di dalam hati dan setiap fikiran dengan pemandangan-pemandangan yang jelas. Ia menggambarkan perasaan-perasaan dan pergerakan-pergerakan jiwa dengan keadaan dan pemandangan- pemandangan fizikal yang setanding dengannya. Ia menyarankan ke dalam hati supaya memilih jalan yang betul dengan cara mudah yang terbaik".
Firman Allah SWT: Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu perbuat.
Al-Nasafi berkata: "Allah melihat segala amalanmu sama ada banyak atau sedikit serta mengetahui niatmu sama ada riak atau ikhlas.
"Oleh sebab dengan ini dari satu aspek yang menjadi tontonan mata kasar dan mata hati dan segala yang disebut di dalamnya juga dikembalikan kepada Allah Yang Maha Melihat dan Mengetahui segala apa yang ada di sebalik segala yang nyata".
Firman Allah SWT: Apakah ada salah seorang di antaramu yang ingin mempunyai kebun kurma dan anggur yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dia mempunyai dalam kebun itu segala macam buah-buahan.
Al-Maghari berkata: "Telah berlangsung sunah al-Quran bahawa menyebut kemuliaan dengan buah dan pohon kurma dengan buahnya kerana setiap sesuatu dari pohon kurma semuanya memberi manfaat kepada kehidupan manusia sama ada daunnya, batangnya, mayangnya, pelepahnya yang boleh digunakan kesemuanya".
Sayyid Qutub berkata: "Ia sebuah kebun yang teduh, rimbun, subur dan berbuah. Demikianlah juga sifat sedekah dan kesan-kesannya dan beginilah keadaannya dalam hidup si pemberi, dalam hidup si penerima dan dalam hidup masyarakat manusia.
"Demikianlah juga sedekah itu mempunyai roh, bayang yang teduh, kebajikan dan keberkatan, mempunyai makanan dan minuman dan mempunyai kebersihan, kesuburan dan pertambahan.
"Siapakah yang ingin mempunyai kebun atau kebajikan yang seperti ini kemudian ia melepaskan (ribut) perbuatan yang membangkit- bangkitkan pemberian dan perkataan yang menyakitkan hati dan memusnahkan kebajikan itu sebagaimana kebun dimusnahkan oleh ribut yang kencang yang mengandungi api.
"Bilakah kebun itu dimusnahkan? Ia dimusnahkan pada waktu tuannya berada dalam keadaan yang paling lemah untuk menyelamatkannya dan paling berkehendak kepada bayang-bayang yang teduh dan hasilnya yang baik".
Firman Allah SWT: Kemudian datanglah masa tua pada orang itu sedang dia mempunyai keturunan yang masih kecil-kecil. Maka kebun itu ditiup angin keras yang mengandung api, lalu terbakarlah.
Ibnu Jauzi berkata, ayat ini menggambarkan perumpamaan Allah dengan sebab kerugian ketika ditarik nikmat ketika keperluan yang amat mendesak.
Orang yang dimaksudkan ini terdapat tiga pandangan ulama:
Pertama: Bahawa ia diumpamakan yang disudahi kehidupannya dengan amalan yang tidak baik seperti kata Ibnu Abbas.
Kedua: Bahawa ia diumpamakan seperti orang yang cuai pada ketaatan kepada Allah sehingga mati. Inilah pendapat Mujahid.
Ketiga: Ia diumpamakan seperti orang yang riak dalam nafkah yang terputus manfaatnya ketika ia amat perlu. Inilah pendapat As-Suddi.
Firman Allah SWT: Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada kamu supaya kamu memikirkannya.
Ibnu Kathir berkata: "Supaya kamu mengambil iktibar dan memahami segala perumpamaan dan makna dan kamu menurunkannya mengikut apa yang dikehendakinya".
Iktibar Ayat:lPerumpamaan untuk mendekatkan kefahaman.
lInfak kerana Allah mendapat ganjaran yang besar.
lMengisbatkan sifat Allah yang Maha Melihat.

Monday, April 21, 2008

Kekeliruan identiti menjadikan kita hilang arah

Saya baru sahaja berjumpa dengan Perdana Menteri secara peribadi di pejabatnya pada hari Khamis lepas. Saya memberikan pandangan dalam beberapa perkara. Antaranya mengenai tuntutan memaklumkan keislaman seseorang yang baru menganut Islam kepada keluarga. Saya bertanya maksud beliau, kerana saya amat tidak bersetuju jika itu dijadikan syarat. Beliau memberitahu saya, itu bukan syarat pengesahan pendaftaran. Beliau akan membuat penjelasan nanti. Saya berterima kasih dan lega. Jika tidak, saudara-saudara muslim kita yang baru akan menjadi mangsa, sama ada tekanan keluarga atau tekanan undang-undang. Maka betapa Islam yang menjadi agama rasmi negara ini, penganutnya pula tertindas. Di manakah identiti Islam dalam negara ini?

Melihat fonomena semasa, amat mendukacitakan kita. Orang politik Melayu- Muslim kita, hampir kesemua aliran yang ada sedang kegilaan mendapatkan kuasa. Bagaikan seseorang yang sedang jatuh cinta yang terlampau dan sanggup mengorbankan apa sahaja. Bak kata P.Ramlee dalam lagunya: Berkorban apa saja, harta ataupun nyawa. Itulah kasih mesra, sejati dan mulia. Kepentingan sendiri tidak diingini, bahagia kekasih saja yang diharapi. Saya fikir ramai di kalangan pemimpin politik yang beragama Islam yang mungkin jika menyanyikan lagu ini semula maka begini bunyinya: Berkorban apa sahaja, agama ataupun negara. Itulah bukti kerjasama sehati dan saksama. Kepentingan umat sendiri tidak diingini, bahagia pengundi, itulah yang diharapi. Saya tidak perkauman. Saya bukan pejuang bangsa tetapi saya ingin berjuang untuk kepentingan umat Islam, tanpa mengira bangsa, dalam masa yang sama memberi keadilan untuk semua. Namun dalam acuan dan kerangka yang diajar oleh Islam.

Saya tidak pernah menafikan hak bukan Muslim dalam negara ini. Islam mengiktirafnya. Tetapi saya bimbang dalam keinginan ahli-ahli politik Muslim untuk menjaga hati pasangan mereka, mereka melupai identiti diri dan masa depan umat sendiri. Hinggakan dahulu ada yang mengkafirkan orang lain kerana kerjasama dengan parti bukan Muslim atau memangkah calon yang bukan Muslim, hari ini dunianya pun sudah terbalik. Sepatutnya fatwa itu ditarik dahulu, atau diberikan penjelasan semula agar tiada siapa yang akhirnya mengkafirkan dirinya sendiri. Bukanlah isu itu yang hendak dibangkitkan, sebaliknya nak menjelaskan betapa tsunami politik boleh mengubah banyak perkara. Itu mungkin biasa. Tetapi jangan sampai menggadaikan diri kita semua.

Sekali lagi, saya tidak fanatik melulu. Tulisan dan pendapat saya sentiasa stabil tentang perlunya Islam ini digambarkan secara lunak dan murni kepada non-Muslim. Namun kali ini saya ingin meminta mereka semua berfikir, atau pembaca saya menyampaikan fikiran ini kepada mereka. Kecenderungan sesetengah mereka di akhir-akhir ini untuk menuntut berbagai- bagai perkara, agak merisaukan. Apatah lagi mereka tahu, rakan-rakan politik dari pelbagai aliran akan melayan demi kerusi kesayangan atau idaman. Setiap warganegara dalam naungan politik Islami, boleh menuntut haknya jika benar itu haknya. Namun tuntutan sehingga kepada peringkat menghakis identiti negara ini sebagai negara Muslim amat berbahaya.

Menyangka

Mereka janganlah menyangka bahawa orang Islam di Malaysia begitu tidak adil. Sehingga kononnya ingin menjemput bantuan luar. Kita tidak ingin membabitkan dosa luar dibawa ke mari. Jika kita ingin menilai berdasarkan pendangan luar, kita mungkin boleh bertanya; adakah umat Islam di India mendapat hak seperti kaum Hindu mendapat hak dalam negara ini? Di India, masjid mereka diruntuhkan, mereka ada yang dibunuh, dirogol, diseksa dan berbagai-bagai lagi. Namun pernah itu dijadikan sukatan dalam memberikan hak dalam negara ini? Tentu sama sekali tidak. Islam pun berpegang bahawa seseorang tidak menanggung dosa orang lain. Lihatlah layanan yang diperoleh oleh masyarakat muslim di China. Bandingkanlah apa yang telah diperoleh oleh kaum Cina bukan Muslim di negara ini pula. Lihatlah pula minoriti Muslim di negara-negara majoriti Hindu atau Buddha. Jikalaulah sukatan luar itu diambil sebagai penilaian, tentulah buruk natijahnya. Lihatlah Amerika yang menyeru kepada demokrasi. Pertempuran di Iraq, Afghanistan dan kebangkitan rakyat Palestin yang dizalimi menentang kekasihnya Israel, turut ditanggung oleh rakyat Muslim di Amerika. Mereka dilayan dengan cara yang menakutkan. Adakah hal ini dilakukan dalam negara ini? Kita telah hidup dalam keadaan aman. Keamanan ini jika dikoyak, sukar untuk dicantumkan kembali.

Apabila Islam diberikan kelebihan dalam negara ini, itu adalah perkara biasa. Ini kerana Islam adalah agama rasmi negara dan majoriti penduduknya menganut Islam. Inilah juga berlaku di India, Thailand dan lain-lain yang mengutamakan agama negara. Bahkan negara-negara yang memakai label sekular di Barat memberikan keutamaan kepada agama Kristian melebihi agama lain. Tiba-tiba ada pihak yang menganggap keistimewaan yang diberikan kepada agama Islam dalam negara ini sebagai tidak adil. Malangnya disokong pula oleh yang mengaku Muslim. Padahal ada agama tertentu yang telah mengkasta-kasta sesama penganutnya pun. Sehingga ke tahap yang - pada penilaian Islam- amat tidak wajar dari segi kemanusiaan. Sehinggakan kasta bawahan tidak boleh makan atau bergaul bersama kasta atasan. Itupun diterima. Tiba-tiba dibantah kelebihan yang diberikan dari segi perlembagaan dan kewangan kepada agama Islam.

Pun begitu, kita juga dalam masa yang sama menyedari bahawa ada perkara yang berhubung dengan hak bukan Muslim yang perlu untuk disemak dan diteliti semula. Jika ada kecacatan tentang hak mereka, bukanlah salah ajaran Islam, jangan mereka mentohmah Islam. Mungkin beberapa kesilapan penganutnya atau pengurusan yang tidak tepat. Percayalah, tidak ada agama dalam dunia yang begitu meraikan kebajikan bukan penganutnya seperti ajaran Islam ini. Lihat al-Quran menyebut: (maksudnya) Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (Surah al- Mumtahanah ayat 8-9).

Bahkan Allah menjamin bukan Muslim dalam keadaan yang sukar dengan menyebut: (maksudnya): Dan jika seseorang daripada kalangan Musyrikin meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya sehingga dia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke tempat yang selamat. Demikian itu (perintah tersebut) ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam). Bagaimanakah dapat diakui adanya perjanjian (keamanan) di sisi Allah dan Rasul-Nya bagi orang-orang Musyrikin (sedangkan mereka mencabulinya)? Kecuali orang-orang (Musyrikin) yang kamu telah mengikat perjanjian setia dengan mereka dekat Masjidilharam. Maka selagi mereka berlaku lurus terhadap kamu, hendaklah kamu berlaku lurus pula terhadap mereka; sesungguhnya Allah mengasihi orang- orang yang bertakwa. (Surah al-Taubah: 6-7). Apakah ada jaminan dalam nas- nas agama lain terhadap umat Islam?

Apa yang menjadi masalah pada hari ini bukanlah ajaran Islam yang perlu dbimbangi oleh mereka jika dilaksanakan dengan penuh penghayatan terhadap asas keadilan yang menjadi teras agama ini. Apa yang menjadi masalah adalah sikap dan kelakuan sesetengah umat Islam itu sendiri yang tidak menunjukkan imej yang baik tentang Islam. Saya pernah membangkitkan berbagai-bagai isu yang salah ditangani oleh orang Islam. Dulu saya pernah bangkit ‘isu bin Abdullah’, isu jawab salam, isu murtad dan berbagai-bagai lagi. Begitu juga saya kurang setuju kita merebut jenazah yang tidak ada bukti yang kukuh tentang keislamannya. Sehingga menimbulkan salah faham, atau mudarat kepada Islam. Rasulullah saw pun tidak menuntut jenazah Raja Habsyah iaitu Najasyi yang menganut Islam secara sembunyi dan mati di sana. Kerajaan Habsyah adalah kerajaan Kristian. Keislaman Raja Najasyi adalah secara sembunyi. Orang Islam mengetahui keislamannya. Dia sering berutusan dengan Nabi SAW. Namun apabila dia meninggal, Nabi SAW hanya bersolat jenazah secara ghaib (tanpa kewujudan jenazah) di Madinah. Dalam hadis al-Bukhari: daripada Jabir r.a: Nabi SAW bersabda -ketika kematian Najasyi-: Telah mati pada hari ini seorang lelaki soleh. Bangunlah dan bersolatlah ke atas saudara kamu Ashamah (nama Najasyi). Para sarjana fikah mengulas berbagai-bagai alasan tentang solat jenazah ghaib ini. Antara mereka ada yang menyebut disebabkan jenazahnya tidak disolatkan di tempat kematiannya kerana berada bersama dengan orang Kristian. Jika jenazah Najasyi yang disayangi oleh Nabi SAW lagi nyata Muslim di sisi orang Islam Madinah apabila tiada keupayaan untuk menuntutnya dibiarkan tanpa dituntut, demikianlah jenazah Muslim biasa yang tiada bukti yang jelas, maka bagaimanakah kita hendak terus menuntutnya? Allah Maha Mengetahui keadaan setiap hamba-Nya yang mati.

Menghormati

Mereka bukan Islam juga hendaklah menghormati perasaan umat Islam dalam negara ini. Mereka hendaklah mengelakkan perkara-perkara yang boleh menimbulkan sensitiviti umat Islam. Menghina ajaran Islam; seperti mencerca atau mengutuk Allah, atau para nabi wajib dielakkan dalam apa bentuk sekalipun. Demikian juga seperti meminum arak di khalayak ramai, memakan, menjual atau menternak babi secara terbuka dan seumpamanya. Walaupun hal itu tidak menjadi kesalahan bagi mereka, namun ia sensitif bagi umat Islam. Mereka boleh makan dan minum di kalangan mereka tetapi bukan secara terbuka sehingga menimbulkan keresahan.

Malangnya dalam negara kita, umat Islam sendiri telah double-standard, arak dan babi keduanya diharamkan Allah, tapi cuma babi sahaja yang dijauhi, sementara arak diiklan secara meluas. Sedangkan nas-nas pengharaman arak lebih banyak dan tegas daripada larangan memakan babi. Sepatutnya pemerintah di setiap peringkat - negeri ataupun pusat - dalam negara ini mempertahankan identiti negara ini, jangan sampai kita menjadi pengekspot babi ataupun arak.

Identiti Islam dalam negara kita ini dari beberapa sudut amat samar. Maka tidak hairan jika Muslim dan bukan Muslim semakin keliru. Sesetengah pentas kita berkata ingin menghayati Islam. Tetapi akhirnya yang nampak hanyalah slogan dan kain rentang semata. Saya tidak maksudkan dengan identiti Islam itu pemimpin negara ini kena berserban dan berjubah, atau pakaian rakyat jelata ditukarkan kepada fesyen Arab, atau dendangan nasyid di sepanjang jalan, atau diharamkan hiburan dan filem seperti yang dibayangi oleh sesetengah pendendang negara Islam tanpa kefahaman yang betul. Tetapi saya maksudkan identiti negara Islam itu prinsip-prinsip Islam mesti dipertahankan. Keadilan, ketelusan, keamanan dan kemuliaan negara berdasarkan Islam. Semua perdagangan, pertahanan, pendidikan, alam sekitar, hubungan sosial dan selainnya mestilah dibina atas prinsip-prinsip mulia yang diasaskan oleh Islam. Jika ini berlaku, maka Islam akan difahami dan dipandang tinggi oleh bukan Islam. Jika tidak, mereka keliru dan tiada penghormatan kepada penganutnya. Saya tidak tahu di manakah identiti Islam bagi negara ini jika saya berjalan di Bukit Bintang. Di manakah gambaran keindahan Islam yang menjaga kerosakan akal, jika pusat-pusat hiburan kita penuh dengan manusia mabuk dan hilang akal? Jika sampai sahaja ke gerbang negara ini, kedai-kedai arak dijual terbuka. Apakah negara ini kelihatan amat mundur kerana tidak manusia mabuk? Apakah bukan Muslim akan rasa begitu tertindas jika arak tidak dipamerkan secara terbuka? Saya tidak fikir mereka merasa begitu. Akhirnya kita menghadapi krisis identiti diri. Antara slogan Islam dan penghayatan yang dilaksanakan. Seperti seorang artis yang keliru antara ingin menjadi penyanyi atau menjadi super man. Krisis identiti ini juga kadangkala seperti seorang yang berjantina lain, tetapi berkecenderungan lain. Akhirnya ‘saudara’ pun tidak, saudari pun tidak. Maka akhirnya mungkin dipanggil ‘saudarai’. Negara kita ini perlu menjelaskan apakah identitinya yang sebenar? Setelah dijelaskan maka senanglah untuk kita membuat penilaian atas tindakan. Saya lihat kekeliruan sarat berlaku kepada semua jenama parti politik yang ada. Tsumani politik telah merubah banyak identiti negara dan parti.

- DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.

Padamkan api Fitna dengan al-Quran


AL-Quran mengandungi petunjuk dalam semua aspek kehidupan manusia. - Gambar hiasan


TIDAK dinafikan, al-Quran merupakan ubat utama kepada masalah manusia. Sebabnya, ia boleh diibaratkan sebagai buku manual yang dibekalkan oleh Allah untuk menangani makhluk yang bernama manusia. Walau bagaimanapun, seperti semua jenis ubatan yang lain, jika tidak diguna atau dipreskripsikan dengan betul, ubat tersebut akan menjadi racun yang boleh memudaratkan penggunanya.

Merujuk paradigma di atas, dapat disimpulkan tindakan Ahli Parlimen Belanda, Geert Wilders dalam menghasilkan filem kontroversi terbaru mengenai al-Quran samalah seperti mengambil al-Quran dari sudut yang tidak betul. Akhirnya memesongkan mesej sebenar ayat-ayat tersebut.

Walaupun rata-ratanya umat Islam seluruh dunia bangkit menentang filem tersebut, namun mungkin ada sesetengah umat Islam yang dangkal ilmunya akan terpengaruh dengan filem itu kerana kelemahan memahami ayat-ayat 'keganasan' yang diutarakan oleh Wilders.

Oleh itu, amat perlu ahli di dalam bidang al-Quran memperjelaskan kedudukan sebenar ayat-ayat tersebut iaitu (al-Nisa': 56 & 89, al-Anfal: 60, Muhammad: 4) agar salah anggap terhadap maksud ayat-ayat di atas tidak meracuni pemikiran sesetengah umat Islam.

Perlu dijelaskan bidang pengajian al-Quran seperti tafsir al-Quran adalah bidang ilmu yang cukup kompleks. Ia memerlukan penguasaan ilmu-ilmu asas Islam yang tinggi seperti kemampuan bahasa Arab, pengetahuan tentang ilmu hadis, sejarah, sirah, asbab nuzul, nasakh mansukh, makki & madani, tafsir bi al-ma'thur & tafsir bi al-ra'y, qiraat, ulum al-Quran dan sebagainya.

Ilmu-ilmu tadi merupakan nyawa, nadi dan alat utama yang diperlukan untuk seseorang itu benar-benar memahami al-Quran. Mana-mana ayat al-Quran yang tidak difahami dalam kerangka ilmu yang dinyatakan di atas, kepincangan makna akan terjadi seperti yang diutarakan oleh filem tersebut.

Al-Quran mengkategorikan orang bukan Islam kepada dua kategori iaitu kafir dzimmi (kafir yang menjadi teman kepada umat Islam, tidak bermusuh dan tidak mensabotaj umat Islam) dan kafir harbi (kafir yang sentiasa memusuhi serta cuba mensabotaj kelangsungan umat Islam).

Ini selaras dengan firman Allah, Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (al-Mumtahanah: 8-9)

Kesemua ayat yang disebut di dalam filem Fitna itu ditujukan kepada kumpulan kafir harbi di zaman Rasulullah yang terdiri daripada kuffar Musyrikin Mekah dan Yahudi Madinah yang berpaling tadah.

Pihak kuffar Mekah telah bersungguh-sungguh berusaha membunuh serta menghapuskan pengaruh Islam di Mekah sehingga memaksa Nabi SAW dan para sahabatnya berhijrah ke Madinah demi menyelamatkan Islam. Ini dijelaskan oleh firman Allah dalam ayat ke 30 surah al-Anfal.

Semasa di Mekah, umat Islam dilarang memulakan perang sebagaimana firman Allah dalam ayat 77 surah al-Nisa'.

Mereka hanya dibenarkan membalas kezaliman musuh-musuh mereka serta melancarkan perang setelah berada di Madinah sebagaimana firman Allah, Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan). Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: Tuhan kami ialah Allah. (al-Hajj: 39-40)

Setelah arahan perang atau mempertahan diri secara fizikal dikeluarkan, amat perlu bagi umat Islam mempunyai kekuatan pertahanan seperti mana-mana negara di seluruh dunia. Untuk itu Allah menurunkan pula ayat surah al-Anfal yang digunakan oleh Wilders di dalam filemnya: Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya...(al-Anfal: 60)

Setelah berlaku peperangan, fokus utama sesebuah armada tentera adalah mencapai kemenangan. Strategi untuk mencapai kemenangan mutlak ialah dengan merencana perang dengan segala kekuatan dan strategi yang ada.

Untuk itu Allah membekalkan umat Islam dengan ayat-ayat yang tampaknya keras, akan tetapi amat berkesan untuk menjamin kemenangan yang dikejar.

Contoh-contoh ayat inilah yang digunakan oleh Wilders di dalam filemnya.

l Firman Allah, Mereka suka kalau kamu pula menjadi kafir sebagaimana mereka telah menjadi kafir, maka (dengan yang demikian) menjadilah kamu sama seperti mereka. Oleh itu janganlah kamu mengambil (seorang pun) di antara mereka menjadi teman rapat kamu, sehingga mereka berhijrah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam). Kemudian kalau mereka sengaja berpaling ingkar, maka tawanlah mereka dan bunuhlah mereka di mana sahaja kamu menemuinya; dan jangan sekali-kali kamu mengambil (seorang pun) di antara mereka menjadi teman rapat atau penolong. (al-Nisa': 89)

l Dengan yang demikian, apabila kamu berjuang menentang orang-orang kafir (dalam peperangan jihad) maka pancunglah lehernya, sehingga apabila kamu dapat membunuh mereka dengan banyaknya (serta mengalahkannya) maka tawanlah (mana-mana yang hidup) dan ikatlah mereka dengan kukuhnya. Setelah selesai pertempuran itu maka (terserahlah kepada kamu) sama ada hendak memberi kebebasan (kepada orang-orang tawanan itu dengan tiada sebarang penebusnya) atau membebaskan mereka dengan mengambil penebusnya. (Bertindaklah demikian terhadap golongan kafir yang menceroboh) sehinggalah berakhir peperangan jihad itu (dan lenyaplah sebab-sebab yang menimbulkannya). Demikianlah (diperintahkan kamu melakukannya). Dan sekiranya Allah menghendaki, tentulah Ia membinasakan mereka (dengan tidak payah kamu memeranginya); tetapi Ia (perintahkan kamu berbuat demikian) kerana hendak menguji kesabaran kamu menentang golongan yang kufur ingkar (yang mencerobohi kamu). Dan orang-orang yang telah berjuang serta gugur syahid pada jalan Allah (mempertahankan agamanya), maka Allah tidak sekali-kali akan mensia-siakan amal-amal mereka. (Muhammad:4)

Walaupun begitu, umat Islam masih terikat dengan adab-adab di dalam perang sebagaimana sabda Rasulullah SAW, "Pergilah kamu ke medan perang dengan nama Allah, dengan Allah dan di atas agama Rasulullah SAW. Jangan kamu membunuh orang tua yang lemah, kanak-kanak dan wanita. Jangan kamu mengkhianati harta rampasan, himpunkan harta peperangan kamu, buatlah yang elok dan baik, sesungguhnya Allah sukakan mereka yang berbuat baik". (riwayat Abu Daud)

Selain itu, perlu diingat bahawa al-Quran sememangnya kaya dengan nilai-nilai pengajaran yang universal. Ia telah berkurun menyentuh berbagai aspek kehidupan seperti keadilan sosial (al-Baqarah: 275, al-Hasyr:7), penjagaan alam sekitar (al-Rum: 41), dialog peradaban (al-Hujurat: 13), pemikiran kritis (Ali 'Imran: 190-191), hak-hak wanita (Ali 'Imran: 195, al-Nahl: 57-59, al-Zukhruf: 16-17), ekonomi (al-Baqarah: 282, Yusuf: 47-49), akhlak (Yunus: 57), komunikasi (al-Hujurat: 6), sains dan sebagainya.

Hanya segelintir ayat sahaja yang membincangkan perihal jihad dan peperangan bersesuaian dengan situasi dan keadaannya.

Thursday, April 10, 2008

Kerugian besar lengahkan solat

Rasulullah s.a.w. bersabda: Solat itu adalah tiang agama, sesiapa yang mendirikan solat, sesungguhnya ia sudah menegakkan agama dan sesiapa yang meninggalkan solat, sesungguhnya ia meruntuhkan agama. Hakikatnya solat adalah satu suruhan yang mesti dilaksanakan atau disempurnakan oleh setiap umat Islam walau dalam keadaan apa sekalipun. Sayangnya, masih ada di kalangan umat Islam yang tidak langsung mendirikan solat, kalau buat pun, ada yang melengah-lengahkan waktu solat, melakukan solat secara tergesa-gesa serta tidak khusyuk dan banyak lagi.

S: Sungguhpun waktu solat itu telah ditentukan, mengapa kita digalakkan agar tidak melengah-lengahkannya dan apakah ganjaran mereka yang bersolat di awal waktu?

J: Keperluan untuk menunaikan solat di awal waktu jelas daripada hadis yang bermaksud: “Ditanya Nabi s.a.w., apakah amalan yang terbaik, maka jawab Nabi : Solat di awal waktu.” (riwayat at-Tirmizi dan Abu Daud).

Namun ada beberapa ketika yang dibenarkan untuk melewatkan solat seperti jika cuaca terlampau panas dan berjemaah secara terbuka di luar. Sabda Nabi SAW: Tangguhlah sehingga sejuk bagi solat Zuhur, kerana kekuatan panas (matahari) adalah daripada bahang neraka jahanam. (riwayat al-Bukhari). Namun mungkin keadaan terlalu panas ini sudah kurang timbul kerana kini, kita menunaikan solat di masjid yang redup dan berhawa dingin.

Bagi menjelaskan ganjaran mereka yang menjaga waktu solat. Rasulullah bersabda: Pada suatu hari Rasulullah ditanya oleh seorang sahabat: Amalan apakah yang paling utama? Baginda menjawab: Solat tepat pada waktunya. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Di samping itu, Rasulullah pernah bersabda: “Barang siapa yang bersolat tepat pada waktunya dan melengkapkan rukuk, sujud dan khusyuk maka solat itupun naik ke atas dalam keadaan putih dan cemerlang. Solat itu berkata: “Semoga Allah menjaga dirimu sebagaimana engkau menjaga aku (menyempurnakan rukun solat itu). Tetapi barang siapa yang tidak bersolat, tidak dalam waktu yang ditentukan dan tidak pula menyempurnakan wuduknya serta tidak pula melengkapkan rukuk, sujud dan tanpa khusyuk sama sekali, maka solat itupun naiklah ke atas dalam keadaan hitam kelam sambil berkata: “Semoga Allah mensia-siakan dirimu sebagaimana engkau mensia-siakan aku. Selanjutnya setelah solat itu berada di suatu tempat seperti dikehendaki Allah, ia pun lalu dilipatkan sebagaimana dilipatnya baju yang koyak rabak kemudian dipukulkanlah kepada mukanya.” (riwayat al-Tabrani dan Baihaqi).

Sementara, dalam surah al-Mukmin ayat 8 hingga 11 yang bermaksud: Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya, dan orang yang memelihara solatnya; mereka itulah orang yang berhak mewarisi syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya.

S: Perkataan memelihara solat mempunyai pengertian yang cukup luas. Boleh ustaz huraikan?

J: Erti memelihara solat yang termudah adalah menjaga solat fardu lima kali sehari semalam. Namun, lebih dalam dari itu, penjagaan solat juga menuntut kita untuk mendirikannya dan bukan sekadar menunaikannya. ‘Tunaikan’ dan ‘dirikan’ adalah dua benda yang berbeza. Tunai lebih cenderung kepada proses melaksanakannya pada satu-satu waktu dan kemudian ia dikira selesai tanpa mengira kesan selepas dan persembahan spiritual semasa pelaksanaannya. Manakala erti ‘mendirikan’ solat pula tidak bermaksud sedemikian, ini kerana kita dituntut untuk melaksanakan solat secara fizikal dan spiritual lalu berterusanlah kesan solat itu dalam kehidupan seharian kita.

Perlu sama-sama kita menyedari bahawa yang dituntut semasa solat adalah usaha untuk meyakinkan yang kita sedang berhadap dengan Allah dan hati kita juga sedang dilihat oleh-Nya. Ini ditegaskan oleh Nabi SAW yang bermaksud: Apabila kamu solat, janganlah kamu menoleh (ke sana sini yakni tidak fokuskan pandangan), kerana Allah SWT mengarahkan wajah-Nya ke wajah hamba-Nya yang sedang bersolat selagi mana hamba-Nya tidak menoleh ke lain. (al-Bukhari dan Abu Daud)

Perasaan inilah yang perlu dibawa hingga keluar solat, maka dengannya kita pasti akan dapat merasakan setiap tindakan kita dilihat oleh Allah SWT.

S: Apakah yang dimaksudkan solat berkualiti dan bagaimana memperolehnya?

J: Maksud solat berkualiti merangkumi semua hal-hal yang telah saya nyatakan sebelum ini, selain itu solat ini juga didirikan berlandaskan ilmu dan bukannya secara ikutan tanpa mengetahui asas sesuatu pergerakan dan tindakan itu.Solat bagi mereka yang mengikuti mana-mana ilmuwan dan alim ulama secara ‘lihat, pandang dan dengar’ sudah tentu sah jika menepati rukun dan syaratnya.

Namun, apabila kita ingin mengulas perihal berkualiti, ia sudah tentu perlu lebih dari sekadar sah. Atas sebab demikian ia memerlukan ilmu yang lebih jelas tentang dalil-dalil yang disandarkan pandangan ulama tersebut. Inilah namanya menaiktarafkan tahap ilmu agar pencapaian pahala dan keyakinannya semakin tinggi. Pahala bagi seorang yang menunaikan ibadah dengan ilmu amat berbeza dengan solat mereka yang tidak didasari ilmu.

Khalifah Umar bin Abd Aziz berkata: “Sesiapa yang beramal tanpa ilmu, maka kerosakan lebih banyak dihasilkan daripada kebaikan. (Jami’ Bayan al-‘Ilm wa fadlihi, Ibn Abd Barr, 1/27)

Malah Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Disebutkan kepada nabi terdapat dua orang lelaki, seorang daripadanya ahli ibadat manakala yang satu lagi ahli ilmu. Lalu Nabi memberi respons, keutamaan orang yang punyai ilmu melebihi daripada orang yang beribadat (tanpa ilmu) adalah seperti keutamaanku dengan yang paling rendah daripada kalangan kamu (sahabat). (riwayat Tirmizi, no. 2685, 5/50)

Syeikh Al-Mubarakfuri menghuraikan bahawa ahli ibadat yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah mereka yang banyak melakukan ibadat tetapi hanya didasari ilmu yang sedikit. Beliau juga menjelaskan bahawa Nabi membandingkan keutamaan dirinya dengan seorang sahabat yang paling rendah kemuliaannya, itu perbandingan si alim dengan si ahli ibadat. (Tuhfatul ahwazi, 7/379)

Inilah juga yang ditegaskan oleh Syeikh Khatib As-Syarbini As-Syafie di dalam kitabnya di mana beliau menegaskan erti ‘lihat’ dalam hadis Nabi: “Solatlah kamu sebagaimana kamu lihat aku mendirikan solat.” adalah ilmu iaitu, sebagaimana aku mengetahui kaedah dan sifat aku solat. Solat sebegini akan lebih mudah meraih nikmat khusyuk yang merupakan satu kenikmatan spiritual yang amat bernilai buat kehidupan di dunia dan di akhirat.

S: Bagaimanakah cara berhikmah untuk mengajak orang mendirikan solat kerana kita tidak mahu perkara ini dipertanggungjawabkan ke atas kita di akhirat kelak atas alasan segan atau takut mengecilkan hati mereka?

J: Sebaik-baik cara adalah kembali kepada asas (back to basic). Kita cuba ajak mereka berfikir semula bahawa hidup dan keseronokan dunia hanyalah untuk beberapa puluh tahun sahaja. Jangan kita tujukan kepada mereka, tetapi tujukan kepada diri kita terlebih dahulu iaitu termasuk mereka yang sedang ingin menasihati. Ingatkan perihal kematian, ia adalah saranan Nabi SAW dalam hadisnya: “Perbanyakkanlah ingatan kepada perkara yang memutuskan kenikmatan sementara, iaitu mati.”

Jika penerimaannya baik, boleh diteruskan dengan memberi kefahaman perihal dosa mereka yang meninggalkan solat, antaranya adalah satu kaki sudah menjadi kafir, sebagaimana disebut di dalam hadis: “Sempadan antara seorang itu Islam dan kafir adalah jika mereka meninggalkan solat.” Ini bererti, mereka yang meninggalkan solat dikira sudah separuh badan di sempadan kekafiran yang amat berbahaya.

Gunakan cara nasihat yang didasari kasih sayang dan ingin membantu, cara lembut sentiasa lebih utama daripada kaedah yang keras dan menempelak. Kaedah ini juga datang dari al-Quran dan hadis.

Setelah itu, sentiasa galakkan dan bina kemampuan solat orang dituju secara beransur-ansur. Jika sukar, boleh sahaja minta dia mendirikan satu waktu solat sehari terlebih dahulu dan seterusnya semakin baik. Insya-Allah.

Sumber: Temuramah wartawan Utusan Malaysia 8 April 2008, Zuarida Mohyidin dengan pensyarah UIAM, Zaharuddin Ab. Rahman

Wednesday, April 9, 2008

Universiti dan pembinaan akhlak

Oleh MOHD. HILMI RAMLI

Ramai yang mungkin selesa dalam agama mereka, apabila masuk universiti, maknanya sudah tidak perlu lagi mendalami agama Islam. Atas fahaman inilah, maka ramai yang baik agamanya ketika di peringkat sekolah rendah dan menengah, kecundang ketika di peringkat universiti. Ramai yang belajar dan tidak kurang yang dikategorikan sebagai a good practice of Islam sebelum masuk universiti, namun berubah sekelip mata apabila berada dalam suasana kampus. Fenomena Sufiah, pelajar genius di Oxford sebenarnya sudah lama menjalar di kalangan kita di kampus. Mereka cemerlang dan baik ketika di sekolah, namun tewas ketika di universiti. Contohnya, seorang yang baik ketika di sekolah, namun bertukar watak sebagai kaki disko apabila berada di kampus.

Pokok pertama ialah kerana universiti dianggap jalur sempadan memisahkan keperluan mendalami agama. Bagi mereka, ilmu fardu ain terhenti setakat zaman sekolah dan di universiti mula belajar ilmu fardu kifayah. Soal akidah, fiqh dan akhlak sudah cukup dipelajari ketika zaman sekolah, maka zaman universiti harus tumpukan subjek akademik sahaja. Dengan ijazah itu pula, digunakan untuk mencari pekerjaan.

Dalam buku tulisan Prof. Wan Mohd. Nor Wan Daud, Pembangunan di Malaysia: Ke Arah Satu Kefahaman Baru yang Sempurna ada mengungkapkan bab yang penting, iaitu peranan pendidikan Islam di institusi pengajian tinggi (IPT).

Bagi beliau, peringkat universiti merupakan peringkat genting untuk menyusun kefahaman Islam bagi seseorang. Jika ketika peringkat tertinggi ini tidak diberi perhatian, ramai yang akan kecundang akibat arus deras kejutan budaya dan fahaman sekularisme yang masih menebal dalam disiplin akademik universiti.

Akibat ini sudah boleh diperhatikan di sekeliling kita, apabila ramai yang menjadi mangsa 'kekejaman' zaman universiti yang tidak mengenal mangsa. Putaran 'kejam' ini bertambah garang tatkala semakin ramai pelajar yang sudah hilang pedoman diri berpandukan agama.
Ramai yang tidak berjaya meneruskan sikap 'beriman'nya dalam agama. Seharusnya jika individu mempelajari agama di sekolah menengah, sentiasa menjaga solat dan berakhlak baik, maknanya ia boleh berkekalan sampai bila-bila. Namun, iman manusia tidak ada jaminan boleh kekal tanpa sikap istiqamah dalam agama. Oleh itu, untuk mengekalkan iman dalam diri, membawa maksud ia memerlukan ilmu dan sistem yang kemas.

Kerana itulah, Prof. Wan Mohd. Nor membuktikan bahawa Baginda SAW benar-benar diberi amanah menyampaikan wahyu ketika peringkat umur dewasa iaitu 40 tahun. Ini mesej yang signifikan bahawa konteks umur yang matang tandanya bersedia menerima amanah agama itu. Dalam konteks peringkat universiti, seharusnya ada satu sistem yang berterusan membina keperibadian pelajar berdasarkan agama.

Apa yang ada hari ini ialah, universiti semacam melepaskan tangan dalam aspek pendidikan agama di peringkat tertinggi ini. Seharusnya pihak bertanggungjawab menyusun dengan kemas proses pendidikan Islam yang berpadanan di peringkat tertinggi ini. Kemungkinan setiap universiti akan mempunyai cara dan kaedah yang berbeza, namun semestinya setiap universiti mempunyai jalur minimum yang sama dalam pendidikan Islam ini.
Inilah cabaran kementerian yang baru pada hari ini. Universiti bukan sekadar pusat ilmu yang berdiri kerana bangunan-bangunan fizikal yang cantik dan besar. Aktor utama universiti ialah pelajarnya dan sistem yang kemas dibangunkan untuk pelajar itu.

Isu kemerosotan akhlak memang ada kaitan dengan kurangnya susunan sistem pendidikan Islam yang kemas kepada para pelajarnya. Boleh dikatakan mereka yang selain kursus pengajian Islam akan menghadap 90 peratus pengajiannya tanpa elemen tambahan pendidikan Islam yang kemas. Mereka ini akan menghadiri secara sukarela kuliah-kuliah di masjid dan mana-mana halaqah ilmu untuk mendapatkan ilmu agama. Ini juga tidak bermakna semua pelajar pengajian Islam bebas daripada masalah moral, namun ia masih minimum dan jika ada pun bukan faktor pendidikan Islam itu, tetapi faktor peribadi yang bermasalah.
Perkara asas yang menjadi jalur minimum untuk dijadikan teras ialah supaya pelajar mempunyai pandangan alam yang Islami. Ini merupakan subjek yang umum dan menjadi kerangka asas dalam memahami agama. Ia adalah ramuan ilmu tauhid, fiqh dan akhlak yang diadun supaya membentuk kerangka memahami agama.

Lantaran itu, untuk mewujudkan keghairahan pembentukan sistem pendidikan Islam yang kemas dan berkualiti, ia memerlukan komitmen budaya ilmu dan berjiwa besar. Jika universiti sendiri mengambil sikap tertutup dan antiilmu, maka sukar untuk merealisasikan impian ini.
Sebenarnya faktor kemerosotan akhlak dan miskinnya komitmen untuk mendirikan sistem pendidikan Islam yang kemas, berkait rapat dengan kedudukan universiti di peringkat antarabangsa. Maka, perkara utama iaitu miskin budaya ilmu, jadi menjejaskan cabangan komitmen yang lain. Pelajar universiti kurang berakhlak, wujud budaya disuapkan (spoon-feeding) melampau, warga universiti tidak menghayati sepenuh jiwa falsafah universiti dan sebagainya.

Badan Pemikir Nasional Tentang Pendidikan (National Brains Trust on Education) berkata, Malaysia perlu menubuhkan beberapa pusat kecemerlangan dalam bidang pendidikan untuk melahirkan tenaga kerja kelas dunia bagi menghadapi cabaran globalisasi.
Kesimpulannya, kementerian harus serius mendirikan komitmen baru dengan menyusun sistem pendidikan Islam yang kemas di peringkat universiti. Jika program seperti Biro Tata Negara (BTN) boleh diagendakan sebagai indoktrinasi mental pelajar, maka pendidikan Islam semestinya wajib dilaksanakan.

Malah, proses ini memerlukan komitmen budaya ilmu secara menyeluruh supaya agenda mendidik generasi terpelajar daripada menjadi korban putaran 'kejam' sistem universiti, dapat diselamatkan. Budaya ilmu lahir, jika ada komitmen tinggi daripada pemerintah dan kementerian. Pendekatan top-down sangat relevan dalam konteks ini.

Kementerian juga boleh memanfaatkan institusi agama untuk mengadakan latihan kefahaman Islam kepada pemimpin atasan universiti dan pemimpin pelajar kampus. Latihan intensif ini mensasarkan kefahaman akan pandangan alam yang Islami. Institusi agama seperti badan bukan kerajaan (NGO) dan institut pemikir yang tiada kepentingan politik boleh dimanfaatkan.

Sumber: Bicara Agama, Utusan Malaysia Online, 10 April 2008